Saturday, June 18, 2011

Rabiah Al Adawiyyah bermadah..~

Dikisahkan seorang wali wanita bernama Rabiah al-Adawiyah sedang berjalan di tengah jalan. Tiba-tiba dia terlihat seorang lelaki yang amat senang lisannya menyebut-nyebut mengenai syurga dan kenikmatannya serta apa yang dijanjikan Allah SWT kepada penghuni-penghuni syurga.
   Rabiah al-Adawiyah melihat dan mendengar sahaja apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Mungkin dia menyangka Rabiah al-Adawiyah terharu mendengarnya.
   "Wahai manusia!" Lelaki itu dikejutkan oleh Rabiah al-Adawiyah dengan spontan.
   "Sampai bila engkau akan terpengaruh dengan hal-hal yang bila-bila masa boleh berubah, dan engkau lalai kepada Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Besar?"  Rabiah al-Adawiyah menyambung lagi, "Buatlah sesuatu selagi engkau masih berada di dalam dunia ini sebelum engkau berkata lebih banyak mengenai syurga yang dijanjikan kemudian hari itu."
   (Maksudnya, apa yang sedang engkaulakukan di dunia ini lebih penting bagi dirimu daripada engkau melaung-laungkan mengenai syurga dan kenikmatan yang dijanjikan Tuhan kelak. Apakah engkau yakin engkau akan mendudukinya kelak?)
   Mendengar sanggahan Rabiah al-Adawiyah itu, lelaki itu menjadi marah. Dia lalu membentak, "Pergilah engkau dari sini, wahai wanita gila!"
   "Aku bukan orang gila kerana orang gila ialah orang yang tidak mempunyai akal untuk memahami apa yang aku katakan itu," jawab Rabiah al-Adawiyah.
   Rabiah al-Adawiyah lalu meninggalkan tempat itu sambil berkata, "Oh sungguh kasihan kepada orang yang tergila-gilakan syurga itu! Ia sekadar omongan kosong semata-mata. Seandainya dia tidak menjadikan Tuhan sebagai tempat bermesra dan berlindung. Mengapa dia tidak melihat kepada Nabi Adam ASketika berada di dalam syurga bersenang-senang, tetapi apabila baginda ditipu iblis dengan pujukannya supaya memakan buah dari pohon terlarang, baginda ikut memakannya. Apakah kesudahannya? Baginda terhalau dari syurga dan menduduki dunia ini yang menjadi tempat tahanan baginya.
   Mengapa dia tidak melihat Nabi IbrahimAS. Apabila baginda memelihara rahsia Tuhannya, baginda lalu didekatkan Allah SWT kepada zat-Nya dan dipilih-Nya menjadi 'al-Khalil' kepada Allah SWT. Apabila Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api oleh Namrud, Allah SWT memerintahkan api itu menjadi dingin dan lega bagi Nabi Ibrahim AS."
   Rabiah al-Adawiyah lalu bermadah,

Engkaulah kelapanganku dan kesenanganku apabila Engkau berada di sisiku
Apa aku merasakan Engkau tiada, maka dunia ini seolah-olahnya tempat tahanan bagiku
Jika aku tiak terpikat kepada-Mu dan hatiku tidak mencintai-Mu
Maka kepada siapa selain-Mu yang patut aku pikat dan mencintainya?




*diambil dari buku BELAJAR DARI PARA WALI karangan WAN JI WAN HUSIN keluaran KEMILAU PUBLIKA

No comments:

Post a Comment